Powered By Blogger

Followers

Tuesday, March 22, 2011

ULASAN ARTIKEL

Daripada artikel yang telah dibaca diatas, ternyata menunjukkan pada masa kini terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak. Mereka didera dengan pelbagai cara antaranya dirogol, diliwat, dikurung, dibunuh dan pelbagai lagi bentuk penderaan yang kadang kala tidak terlintas difikiran kita yang melakukan perkara tersebut adalah seorang insan yang bernama ‘manusia’. Jika kita lihat dari sudut Islam, sesungguhnya manusia adalah makhluk yang sebaik-baik ciptaan yang dijadikan Tuhan di atas muka bumi ini. Tetapi bagaimanakah makhluk sebaik-baik ciptaan ini melakukan perkara yang sungguh memalukan dan tidak berperikemanusiaan sehingga ada ungkapan ‘manusia bertopengkan syaitan’. Kita dijadikan dengan akal fikiran yang waras tetapi kenapa kita masih lagi tidak mampu untuk menggunakannya sebaik mungkin. Sedangkan haiwan yang tidak mempunyai akal mampu untuk menyayangi anak mereka, inikan manusia mendera anak umpama mereka benda yang tidak bernyawa dan tidak mempunyai perasaan.

Penderaan terhadap kanak-kanak juga bukanlah merangkumi kepada fizikal kanak-kanak tersebut, tetapi apabila emosi mereka terganggu dengan persekitaran mereka juga dikira sebagai penderaan terhadap kanak-kanak. Ini bermaksud apabila ibu bapa sering bergaduh didepan anak-anak, itu juga sudah dikira sebagai penderaan kepada mereka kerana ini mengganggu perkembangan emosi dan dalam pada masa yang sama memberikan gambaran yang buruk terhadap kanak-kanak tersebut. Pelaku yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak kadang kala bukanlah dilakukan oleh orang luar tetapi ahli keluarga mangsa tersebut sendiri melakukannya. Yang paling menyedihkan apabila ahli keluarga tersebut adalah ibu bapa kanak-kanak tersebut sendiri, sedangkan mereka inilah tempat kanak-kanak tersebut berlindung dan bergantung harap.

Dari membiarkan kanak-kanak terus didera tanpa diberi pembelaan, Akta Kanak-Kanak telah diwujudkan bagi membela nasib kanak-kanak. terdapat banyak faktor yang menyebabkan penderaan terhadap kanak-kanak berlaku antaranya adalah hubungan pelaku dengan persekitaran, umur pelaku, taraf perkahwinan pelaku, taraf pendidikan pelaku, jenis pekerjaan pelaku, jumlah pendapatan pelaku, kawasan kediaman dan juga jaringan sosial sebagaimana yang diterangkan oleh Khadijah Alavi (2005) dalam artikelnya yang bertajuk "Memahami penderaan kanak-kanak ke arah pemantapan Akta Kanak-kanak 2001".

Dalam menangai masalah penderaan terhadap kanak-kanak ini, setiap individu memainkan peranan masing-masing dalam melindungi kanak-kanak. Jiran tetangga dan saudara mara merupakan jaringan sosial yang penting dalam melindungi kanak-kanak kerana mereka merupakan kelompok yang sering berhubung antara satu sama lain. Guru juga perlu memerhatikan jika terdapat perubahan sama ada dari segi fizikal mahupun emosi yang berlaku pada diri kanak-kanak. dan perlulah segera menyiasat apa yang berlaku dan melaporkan kepada pihak-pihak yang tertentu.

Penderaan terhadap kanak-kanak ini tidak boleh dipandang ringan dan sambil lewa kerana kanak-kanak merupakan penyambung generasi pada masa akan datang dan mereka adalah satu kurniaan yang amat berharga dikurniakan oleh Tuhan kepada manusia. Sebagai orang yang lebih dewasa dan mempunyai akal yang waras, kita harus bertanggungjawab serta melindungi kanak-kanak dari terus didera dan dikecam. Tindakan yang setimpal harus diberikan kepada pelaku-pelaku yang menjadikan kanak-kanak sebagai item tempat mereka melepaskan nafsu dan melunaskan segala kemahuan mereka.

No comments:

Post a Comment

Muzik Taik Bintang